

Tentunya merimaskan apabila kita selalu mengalami gejala selsema iaitu hidung yang tersumbat, sakit pipi, sekitar mata dan kepala, biasanya pada waktu pagi. Tekak pula seperti dipenuhi kahak. Jika gejala ini berlaku hampir pada setiap hari, ini barangkali menunjukkan tanda-tanda penyakit resdung.
Resdung merupakan keradangan yang terjadi pada lapisan membran di dalam mana-mana ruang sinus. Resdung juga mempunyai risiko menyebabkan kita menjadi terlalu sensitif pada bahan yang mampu menyebabkan alahan, termasuklah perubahan cuaca (sejuk), pencemaran pada alam sekitar dan masalah jangkitan bakteria.
Terdapat beberapa lubang berisi udara pada tengkorak dan diliputi mukus serta membuka ke dalam kaviti (ruang) hidung. Ruang inilah yang dipanggil sinus.
Resdung merupakan masalah yang sangat biasa di serata dunia. Andainya dibuat imbasan kepada 10 orang normal, 80 peratus daripadanya didapati mengalami penyakit resdung ringan yang tidak memerlukan apa-apa rawatan.
Sebagai contoh, di Amerika Syarikat, terdapat anggaran 37 juta orang mengalami penyakit resdung setiap tahun dan ini dijangka lebih tinggi kerana gejala resdung hasil jangkitan bakteria selalu disalah anggap sebagai selesema atau alahan dan agak ramai yang tidak berjumpa doktor untuk pemeriksaan.
Ini juga sama halnya di Malaysia. Terdapat anggaran 60 hingga 65 peratus rakyat mempunyai masalah resdung . Bagaimanapun, kurang 50 peratus daripada jumlah ini datang untuk mendapatkan rawatan dan terdapat ramai yang memilih rawatan resdung secara tradisional bagi ‘menghilangkan’ keradangan sinus.
Secara semulajadi ruang sinus kita diliputi lendir untuk menjadi perlindungan. Mukus atau lendir yang terkumpul ini dialirkan masuk ke dalam saluran hidung untuk memastikan ruang sinus sentiasa berkeadaan bersih. Bila kita selesema ataupun kita mendapat serangan alahan, sinus akan mengalami keradangan dan ini menyebabkan ia tidak dapat mengalirkan mukus. Pengumpulan lendir ini akan menyebabkan hidung menjadi tersumbat dan akan mengundang jangkitan bakteria.
Mengikut Perunding Pembedahan Telinga, Hidung, Tekak — Kepala dan Leher, Pusat Perubatan Gleneagles Intan iaitu Dr Mohd Husni Ahmad, penyakit resdung boleh dikategorikan kepada dua jenis, akut (yang berlaku dalam tempoh pendek) dan kronik. Bagaimanapun, penyakit resdung kronik adalah lebih biasa dan boleh terjadi pada siapa saja dan kepada semua peringkat umur.
Risiko Resdung
Ada anggapan yang mengatakan bahawa terdapat risiko kematian boleh disebabkan oleh penyakit resdung (sinusitis). Anggapan lain pula mengatakan bahawa penyakit resdung tidak dapat dirawat. Di sini kita cuba melihat mengenai persepsi tersebut.
Siapa mereka yang berisiko untuk mendapat penyakit resdung
* Alah pada habuk dan makanan yang menyebabkan hidung tersumbat
* Mempunyai ketumbuhan di dalam hidung
* Mempunyai kelainan di dalam hidung. Contohnya, mempunyai septum dinding pemisah hidung yang bengkok
* Turbinate dinding tepi hidung adalah terdiri dari tiga turbinate. Ia adalah tulang-tulang dinding yang mempunyai para. Turbinate yang besar menyumbang kepada risiko mendapat sinusitis kerana keadaan ini akan menyebabkan ia menyumbat sinus.
KOMPLIKASI
Rawatan penyakit resdung yang tidak sempurna boleh menyebabkan komplikasi serius boleh berlaku kepada kanak-kanak dan orang dewasa.
1. Kesan penyakit resdung - Kanak-kanak
Antara kesan penyakit resdung kepada kanak-kanak ialah penyakit resdung merebak ke dalam mata, jangkitan sellulitis dan nanah mata. Jika dibiarkan ia juga boleh menyebabkan mata menjadi buta.
Mengapa berlaku risiko buat? Ini adalah kerana dinding pemisah ethmoid dengan mata sangat nipis di mana sinus frontal masih belum terbentuk. Ia juga boleh menyebabkan nanah dikeluarkan dari rongga mata.
Untuk mengatasi masalah ini, satu laluan dibuat oleh doktor untuk mengeluarkan cecair dari sinus ethmoid supaya ia tidak bertakung lagi.
2. Kesan penyakit resdung - Dewasa
Nanah dari sinus frontal tidak dapat keluar dari hidung. Nanah itu akan masuk memenuhi ruang dalam otak. Dinding pemisah ini menjadi tebal dan sinus frontal telah terbentuk dengan sempurna.
Ini menyebabkan ostia mudah tersumbat. Sinus maxilla merupakan kawasan yang sering dihinggapi sinusitis. Ia amat jarang berlaku walaubagaimanapun kerana nanah tidak dapat menembusi dinding maxilla yang tebal.
Tetapi, jika nanah merebak ke dalam otak, pembedahan sinus frontal dan pembedahan neurosurgery perlu dijalankan. Kadar kematian meningkat hingga 40 peratus bagi kes-kes seperti ini.
Melihat kepada komplikasi yang boleh berlaku, penyakit resdung tidak boleh dianggap remeh kerana kesannya boleh membawa akibat yang besar, samada buat atau kematian. Dapatkan rawatan resdung yang sesuai secepat yang boleh.
0 comments:
Post a Comment